bismillahirahmanirrahim..
kali ini, kita akan bercakap tentang DOA. semoga dapat memberi manfaat kepada yang membaca :)
Doa itu adalah
ibadah.(HR.Tirmidzi).
Dan demi sesungguhnya,
Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh
hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya
(surah Qaf:16)
Sesungguhnya Allah telah pun mengetahui dan mendengar apa
yang terisi dalam hati setiap hambaNya. Dia tahu apa yang kita inginkan dan apa
yang kita perlukan.
Tapi, kenapa kita
perlu berdoa? Kerana kita adalah HAMBA ALLAH.
Doa. Melalui doa, ia menguatkan orang yang lemah, membuatkan
orang yang hampir putus asa membina harapan, yang tidak percaya menjadi
percaya, dan yang tidak yakin menjadi yakin. Semuanya melalui doa. Melalui doa juga,
seseorang itu menguatkan rasa cintanya kepada Allah, menyalurkan kasih sayang
kepada orang-orang yang dia kasihi, menjaga hati dari melampaui batas, dan
melalui doa, seseorang itu membina kekuatan dalam dirinya, menguatkan keyakinan
dan rasa cinta terhadap Allah, meluahkan segala isi hatinya yang mungkin
disimpan dalam dirinya sendiri kepada Yang Maha Mendengar.
Sungguh, kuasa dari berdoa itu sangatlah hebat. Kerana
ketika berdoa, kita sedang bercakap dengan yang Maha Mendengar. Sungguh, Allah
itu Maha Penyayang kerana pasti Dia menjawab setiap doa hambaNya dan tidak
mengecewakan hambaNya yang berdoa. Mungkin kita tidak akan dapat seperti apa
yang kita hajatkan, tetapi percayalah, Allah ingin memberikan yang lebih baik
daripada apa yang kita impikan. Allah tahu apa yang kita perlukan dan Dia pasti
akan memberikannya di waktu yang tepat. Jadi, mengapa perlu berputus asa dalam
berdoa?
“Aku rasa tidak ada
lagi yang lebih baik dari apa yang aku inginkan. Ada lagi kah yang lebih baik
dari itu? Aku sangat menginginkannya.”
Jangan bersikap atau berfikir seperti ini. Kerana mungkin
kita akan menjadikan diri kita tidak bersyukur dan tidak redha akan takdir yang
telah Allah tuliskan untuk kita. Yakin lah. Allah akan memberikan yang terbaik,
yang lebih baik daripada yang kita inginkan, walau pada ketika itu kita
merasakan tiada yang lebih baik daripada itu. Ikutilah kisah di bawah ini..
Daripada Ummu Salamah, isteri Rasulullah
SAW. berkata,
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
‘Tiadalah seorang hamba yang mengalami
musibah, lalu ia mengucapkan:
(Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan
sesungguhnya kepada-Nya kita kembali. Ya Allah, berilah aku pahala atas
musibahku, dan gantilah untukku dengan yang lebih baik darinya),
nescaya Allah SWT pasti memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik darinya.”
nescaya Allah SWT pasti memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik darinya.”
(Hr. Muslim)
Ummu Salamah berkata, “ada lagikah lelaki yang lebih baik daripada Abu
Salamah untukku ya Rasulullah?”
Pada saat itu, Ummu Salamah tetap yakin dan percaya dengan Rasulullah
dan yakin dengan janji Allah. Dia tetap mengamalkan doa tersebut meski dia
tidak pasti bahawa ada lagikah lelaki yang lebih baik daripada Abu salamah,
suaminya yang telah meninggal dunia. Dia berdoa dengan penuh keyakinan terhadap
Allah. Lalu, Allah mengabulkan doa Ummu Salamah dan Rasulullah SAW lah yang
meminangnya dan menjadi suaminya, pengganti yang lebih baik dari suaminya dulu.
Melalui kisah ini, kita perlulah yakin dengan Allah dan tidak berputus
asa dalam berdoa kerana Allah pasti mengabulkannya, melalui caraNya yang
tersendiri, iaitu cara yang paling terbaik untuk kita.
Maksud
Hadis Nabi SAW: “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa,
kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, Pertama,
Allah mengabulkan doanya terus atau dalam masa terdekat. Keadaan kedua, Allah menangguhkan
doa tersebut pada masa tertentu yang Allah kehendaki. Ini kerana Allah Maha
Mengetahui ketika mana hambanya memerlukan kurniaanNya. Keadaan ketiga, Allah
tidak mengabulkan permintaannya itu tetapi Allah menggantikan dengan perkara
yang lebih baik dan lebih ia perlukan" (HR at-Tabrani)
Sahabatku..indahkan doamu,
indahkan pengharapanmu dan Allah akan mengabulkan permintaan dan doa hambanya
yang bersungguh-sungguh, tak hanya di lisan.. Namun hadirkan hati dan jiwa yang
benar-benar mengharap pertolongan dan mengharap apapun kepadaNya. Di dalam Al
Quran juga telah tertulis bahawa kita Allah pasti mengabulkan setiap doa
hambaNya. Jadi, kenapa kita perlu ragu untuk berdoa?
"Berdoalah
kepadaKu niscaya Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang
menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka
jahannam dalam keadaan hina dina." (surah Ghaafir :60)
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan
doa yang bermohon bila dia bermohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul" (surah Al Baqarah:186)
Sahabatku, ketika kita berdoa, kita perlulah yakin dengan
Allah dan sabar dalam menunggu jawapanNya. Sungguh. Allah itu mendengar setiap
perkataan kita walaupun kita tidak berkata apa-apa. Jangan pernah mempersoalkan
kenapa Allah tidak memperkenankan doa kia. Kerana pastinya Allah akan
mengabulkannya di waktu yang tepat, kerana Dia yang lebih mengetahui daripada
kita.
Rasulullah SAW
bersabda, “Doa seseorang hamba Allah tetap dikabulkan selama ia tidak berdoa
untuk suatu perbuatan dosa atau memutuskan silaturahim atau tak terburu-buru
segera dikabulkan.”
Seorang sahabat
bertanya, “Ya Rasulullah, apakah maksud terburu-buru?”
Rasulullah menjawab, “Ia
mengatakan, ‘aku telah berdoa tetapi aku tidak melihat doaku dikabulkan’,
sehingga dia mengabaikan dan meninggalkan doanya itu.” (HR Muslim)
Dalam kita berdoa, kita juga perlulah meminta kepada Allah
supaya dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam meniti cubaan yang diberiNya. Didik
hati untuk redha dan syukur dengan setiap apa yang terjadi. Kerana salah satu
punca kebahagiaan adalah dengan redha dan syukur. Dalam berdoa, kita perlulah
yakin dengan Allah, namun jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana
kelak kita akan kecewa jika kita mendapatkan yang lain. Sebaliknya, kita perlu
yakin bahawa Allah pasti akan beri yang terbaik, sama ada kita dapat apa yang
kita inginkan ataupun tidak. Allah mengenali kita lebih daripada kita mengenali
diri kita sendiri. Dan pastinya Dia lebih mengetahui apa yang kita perlukan. Ingatlah,
Allah sentiasa memberi apa yang kita PERLU, bukan hanya apa yang kita inginkan,
kerana tidak semestinya apa yang kita inginkan adalah apa yang kita perlukan.
Doa itu juga membentuk keyakinan dan peribadi dalam diri kita. jadi, pilihlah doa yang terbaik untuk diri kita. dan yang pastinya, jadikan doa itu sebagai pendekat diri kita dengan Allah. lakukan sesuatu dan harapkan sesuatu yang dapat menambahkan rasa cinta kita kepada Allah dan mengharapkan redhaNya. sahabatku, lakukanlah apa yang Allah suka kita lakukan, dan tinggalkanlah perkara yang membuatkan kita jauh dari Allah. kerana dalam hidup ini, redha Allah dan cinta Allah yang pertama kita perlu kejarkan. Allahu Akhbar. Allah itu sungguh, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. semoga kita sentiasa di bawah limpahan rahmat dan kasih sayangNya. Allahumma amin.